Insentif RM20 ringankan perbelanjaan di Bazar Ramadan Rahmah

Pengunjung terawal di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square membuat penebus insentif RM20 yang dimasukkan ke dalam e-dompet mereka pada Sabtu.
Pengunjung terawal di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square membuat penebus insentif RM20 yang dimasukkan ke dalam e-dompet mereka pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Orang ramai menerima baik insentif RM20 secara sekali bayar yang dimasukkan dalam e-dompet dan boleh digunakan di bazar Ramadan Rahmah sepanjang Ramadan ini.

Rata-rata penerima terawal menerima insentif itu di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square, di sini menyifatkan pemberian itu meringankan perbelanjaan mereka.

Bagi jurutera, Sharifah Balqis Syed Hussain, 27, berkata, pemberian insentif tersebut tepat pada masa dan membantu perbelanjaan mereka pada bulan puasa ini.

"Walaupun sekadar RM20, tetapi ia sebenarnya meringankan perbelanjaan rakyat. Dengan jumlah itu, kita boleh membeli empat set makanan lengkap di gerai Menu Rahmah," ujarnya.

Katanya, insentif itu juga dapat mengajak masyarakat melakukan transaksi tanpa tunai semasa berbelanja di bazar Ramadan Rahmah Mahkota Square.

"Manfaat e-dompet ini, kita tidak perlu bawa banyak wang tunai, tambahan pula penggunaan aplikasi e-dompet sangat mesra pengguna.

"Jadi sesiapa sahaja boleh menggunakan e-dompet dengan mudah sebab semua orang ada telefon dan ia selamat," katanya lagi.

Dari kiri: Sharifah Balqis, Nurul Hidayah dan Mohd Arman
Dari kiri: Sharifah Balqis, Nurul Hidayah dan Mohd Arman

Bagi pelajar, Nurul Hidayah Yussof, 20, pula mengakui agihan insentif itu tepat pada masanya dan penghujung bulan.

"Kami dapat berbelanja dengan insentif ini dapat la beli makan untuk berbuka dan bersahur.

"Walaupun tidak banyak, kami bersyukur kerana ada juga bantuan di kala tengah sesak ini," jelasnya.

Sementara itu, penjawat awam, Mohd Arman Basir, 36, berkata, pemberian insentif yang dimasukkan ke dalam e-dompet mampu menggalakkan orang ramai berbelanja secara tanpa tunai.

Katanya, mereka hanya menggunakan smartphone dan kaedah itu sebenarnya amat mudah.

"Sekarang semua ada smartphone, jadi cara ini mudah untuk mereka membuat pembayaran kalau tertinggal dompet sekali pun masih boleh membeli," katanya yang berharap pelbagai inisiatif lain lagi dapat disalurkan kerajaan.

Seramai 96,000 pengunjung bazar Ramadan Rahmah seluruh negara dengan 6,000 pengunjung setiap negeri, akan mendapat manfaat daripada insentif yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!