Maghribi kejutkan Brazil
MAGHRIBI mengejutkan Brazil 2-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Ahad sekali gus menyaksikan pasukan Afrika utara itu mencatat kemenangan pertama ke atas juara dunia lima kali itu.
Pemain tengah Sofiane Boufal menjaringkan gol pertama Maghribi selepas 29 minit apabila menyudahkan hantaran Bilal El Khannous.
Kapten Brazil, Casemiro menyamakan kedudukan pada minit ke-67 apabila rembatan lemahnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Yassine Bounou.
Bagaimanapun, Abdelhamid Sabiri meledak gol kemenangan dengan sepakan voli pada minit ke-79 ketika Maghribi membuktikan kejayaan muncul negara Arab atau Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lalu bukanlah satu kebetulan.
“Saya tidak akan mengatakan kami kurang persefahaman, ia mengenai mempraktikkan idea jurulatih baharu.
"Saya fikir kami bermain dengan baik dan melakukan segala-galanya yang mungkin untuk menang," kata Casemiro dari Manchester United.
Hanya 10 daripada 23 pemain yang membawa Brazil ke peringkat suku akhir Piala Dunia lalu beraksi di Maghribi untuk perlawanan itu.
Neymar yang cedera sekali lagi kehilangan jersi nombor 10 miliknya yang disarung oleh pemain muda Real Madrid, Rodrygo.
Brazil juga menyaksikan penampilan jurulatih sementara, Ramon Menezes yang menggantikan Tite yang meletak jawatan selepas tersingkir di peringkat lapan terakhir Piala Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!