Peranan PTPTN bukan sekadar pemberi dan pengutip hutang
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mahu lagi dilihat sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang semata-mata, sebaliknya turut berperanan sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama untuk rakyat di negara ini.
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sehingga 31 Disember lalu, PTPTN telah membantu seramai 3.78 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM68.38 bilion.
Jelasnya, dengan jumlah besar yang telah dikeluarkan itu memberi gambaran bahawa peranan perbadanan itu dalam membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting.
“Penubuhan PTPTN adalah ibarat ‘pelangi yang muncul selepas hujan’ kerana sesuai dengan objektif penubuhannya iaitu memberikan seribu satu harapan kepada pelajar dan ibu bapa khususnya mereka dari keluarga B40 dan M40.
“Peluang dan akses terhadap pendidikan yang berkualiti merupakan jalan keluar daripada kemelut kemiskinan yang bukan sahaja membantu mengubah nasib sesebuah keluarga, malah membantu menawarkan peluang pekerjaan sekali gus menawarkan masa hadapan yang lebih cerah kepada seluruh generasi.
“Melalui wujudnya PTPTN, isu keciciran pelajar kerana masalah kewangan dan kisah bergadai harta untuk menghantar anak menyambung pengajian telah dapat diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sejarah penubuhan PTPTN
Mengimbau kembali penubuhan PTPTN pada Julai 1997, Ahmad Dasuki berkata, perbadanan itu ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).
“Fungsi utama PTPTN bukan sahaja menguruskan pinjaman pendidikan, memungut bayaran balik pinjaman tetapi turut menyediakan instrumen simpanan iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk membantu ibu bapa merancang kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak,” katanya.
Tambahnya, Simpan SSPN yang ditubuhkan pada 2004 bertujuan untuk menanam budaya menabung di kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.
“Seawal usia anak satu hari, ibu bapa boleh membuka akaun Simpan SSPN. Simpan SSPN menjadi solusi kepada masalah kewangan dan secara tidak langsung membantu melahirkan graduan tanpa hutang.
“Pelbagai keistimewaan yang disediakan dan setiap ringgit yang disimpan diberi jaminan sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
Ahmad Dasuki dalam masa sama turut menyentuh mengenai produk kedua PTPTN iaitu Simpan SSPN Plus.
Katanya, Simpan SSPN Plus yang diperkenalkan pada tahun 2015 merupakan pelan simpanan pendidikan terbaik dengan menawarkan keistimewaan tambahan yang lebih baik dari segi manfaat perlindungan takaful kepada pendeposit.
Jelas Ahmad Dasuki, dengan memperkenalkan skim simpanan itu, PTPTN telah membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal usia anak-anak.
Selain itu katanya, bagi memastikan peranan dan fungsi perbadanan itu terus dilipat gandakan, PTPTN juga telah menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, badan-badan kerajaan dan swasta.
“Melalui langkah yang proaktif ini, PTPTN telah memberi kesedaran kepada masyarakat, bahawa kami mempunyai peranan yang cukup besar di atas kejayaan pendidikan tinggi negara pada hari ini,” katanya.
Ujarnya lagi, dalam memastikan perbadanan itu setanding dengan institusi kewangan lain di pasaran dalam penyediaan kemudahan digital, pelbagai pendekatan telah diambil termasuklah mewujudkan aplikasi myPTPTN.
PTPTN berharap usaha penambahbaikan perkhidmatan yang dilaksanakan ini, dapat membantu urusan pelanggan bersama PTPTN serta memberikan pengalaman digital yang menyenangkan selain menjadikan aplikasi myPTPTN sebagai platform terbaik bagi mendekatkan generasi muda dengan PTPTN.
“Ini antara lakaran sejarah yang sangat bermakna dalam memperkukuhkan agenda pendigitalan kerajaan dan memenuhi aspirasi pendigitalan pendidikan tinggi.
“PTPTN diharap akan lebih cemerlang dan terserlah sebagai sebuah institusi penabungan dan pengurus utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi menjelang tahun 2025.
“Diharapkan PTPTN akan menjadi sebuah organisasi yang dibanggakan dan disegani masyarakat kerana sumbangannya dalam melahirkan dan membina modal insan yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Bantu urus kewangan
Sementara itu, ditanya mengenai usaha berterusan untuk memberi penekanan kepada masyarakat tentang pentingnya mempunyai pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan, Ahmad Dasuki berkata, orang ramai perlu belajar dan mengadaptasi senario semasa.
“Secara asasnya, literasi kewangan merujuk kepada ilmu pengetahuan dan pemahaman seseorang individu mengenai pelbagai aspek kewangan yang dapat membantu menguruskan kewangan peribadi, hutang, pelaburan dan sebagainya.
“Apabila seseorang individu celik pengurusan kewangan, ia membantu menguruskan sumber terhad lebih baik. Contohnya dalam perbelanjaan membeli barangan keperluan, di mana tidak semuanya amat diperlukan,” katanya.
Beliau turut menyarankan kepada masyarakat terutama ibu bapa untuk berusaha meningkatkan pengurusan kewangan dengan betul. Katanya, langkah ini perlu bagi mengelak daripada terjebak dengan masalah keberhutangan dan masalah sosial terutama demi masa depan anak mereka.
“Apabila merancang perbelanjaan, kita boleh mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang yang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain.
“Mulakan simpanan dari sekarang kerana tiada istilah terlalu awal atau terlambat untuk berbuat demikian. Fikirkan jangka masa panjang, anda mahu kedudukan kewangan yang bagaimana dalam tempoh 5-10 atau 40 tahun akan datang,” katanya.
PROFIL
- Syarikat/Agensi: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Produk:
- Pinjaman Pendidikan
- Simpan SSPN Prime
- Simpan SSPN Plus Tawaran:
- Diskaun Bayaran Balik Pinjaman
- Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman
- Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman
- Geran Sepadan
- Perlindungan takaful ke atas pendeposit
Hubungi kami:
Facebook: PTPTNOfficial
Instagram: ptptnofficial
Twitter: PTPTNOfficial
Youtube: PTPTN TV
Tiktok: ptptnoffi cial
Linked In: Perbadanan Tabung Pendidikan TInggi Nasional (PTPTN)
Lawan web: https://www.ptptn.gov.my/
Careline: 03-2193 3000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!