Ketajaman Fullkrug bantu Jerman atasi Peru
JURULATIH Jerman, Hansi Flick memberikan pujian kepada Niclas Fullkrug selepas penyerang itu meledak dua gol ketika mengatasi Peru.
Dua gol separuh masa pertama Fullkrug memastikan tuan rumah Euro 2024 itu memperoleh kemenangan 2-0 dalam aksi sulung bagi 2023.
Jerman mendominasi perlawanan persahabatan yang berlangsung pada Ahad itu dengan Kai Havertz berpeluang menjadikan kedudukan 3-0, namun sepakan penaltinya gagal disempurnakan.
Flick memberikan pujian khas untuk Fullkrug yang telah menjaringkan lima gol dalam beberapa perlawanan antarabangsa dan menjadi pemain Werder Bremen pertama yang bermain untuk Jerman sejak Serge Gnabry pada 2016.
"Niclas adalah pemain yang istimewa, dia sangat yakin, dia mahu menang dan boleh memacu pasukan bersama. Dia juga memberikan banyak tenaga positif kepada pasukan," kata Flick.
Sandro Wagner adalah satu-satunya pemain lain abad ini yang menjaringkan lima gol dalam lima penampilan pertamanya untuk Jerman.
Bagaimanapun, Flick menegaskan terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki Fullkrug untuk menjadikannya lebih tajam di hadapan gol.
"Terdapat beberapa situasi yang saya tidak berpuas hati. Jika kami bermain ke hadapan, kami perlu mempunyai kesungguhan tertentu mengenainya.
"Niclas juga mempunyai satu atau dua situasi di mana dia boleh menjadi lebih baik, tetapi dia masih ada untuk gol dan dia menjaringkan gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!