Keluar kata kesat, baling tin arak punca gaduh
KAJANG - Tindakan seorang lelaki dipercayai mabuk mengeluarkan kata-kata kesat sambil membaling tin minuman arak kepada beberapa individu menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Rinching, Semenyih di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.55 malam sebelum beberapa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki dalam keadaan mabuk telah datang ke sebuah gerai menjual burger dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap peniaga tersebut.
"Suspek kemudiannya bertindak membaling tin minuman keras ke arah gerai tersebut mengakibatkan berlaku kekecohan melibatkan suspek dan peniaga tersebut.
"Kejadian menjadi tegang apabila suspek yang mabuk mengeluarkan pisau dan parang serta bertindak agresif," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Mohd Zaid berkata, suspek turut bertindak menyerang beberapa individu lain sebelum berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
"Polis yang tiba di lokasi kemudian bertindak menahan suspek dan tiga lagi individu lain, kesemua mereka yang berumur 28 hingga 41 tahun itu diberkas dan direman empat hari untuk siasatan selanjutnya," katanya.
Tambah beliau, polis turut merampas beberapa senjata dan barang lain dipercayai digunakan ketika pergaduhan ini antaranya, sebilah parang, pisau dan topeng kain muka.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Sabtu, tular video memaparkan seorang lelaki bertindak mengamuk menggunakan sebilah parang di hadapan restoran Bandar Rinching, Semenyih di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!