Lari 15km bawa daun ketum, ubat batuk
JELI - Polis menahan seorang lelaki disyaki penyeludup ketum selepas mengejar kenderaannya sejauh 15 kilometer dalam kejadian di Kampung Pasir Dusun, Jeli pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Saari Yaacob berkata, polis merampas 560 kilogram daun ketum dan kenderaan dengan nilai keseluruhannya RM8,000.
Katanya, ketika kejadian jam 10.30 pagi, lelaki berusia 25 tahun itu dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan ketika anggotanya membuat rondaan Ops Tapis di sekitar daerah ini.
"Polis mengarahkan pemandu kereta Proton Preve memberhentikan kenderaan tetapi suspek terus memecut laju.
"Sebaik tiba di kawasan Kampung Base Camp, di sini suspek kemudian keluar daripada kenderaan dan cuba melarikan tetapi polis berjaya menahannya," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui 56 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum, botol berisi air ketum seberat 1,000 mililiter dan ubat batuk seberat 100 mililiter bernilai RM5,680.
"Hasil soal siasat, lelaki warga tempatan itu mengaku diupah menghantar ketum yang dipercayai untuk bekalan di Tanah Merah.
"Siasatan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Lelaki itu juga positif methamphetamine ketika ditahan," katanya.
Tambah beliau, lelaki itu kini ditahan reman sehingga Isnin.
"Kes akan disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3)," katanya.
3. Saari memeriksa kereta Proton Preve yang dinaiki suspek sebelum ditahan di Kampung Pasir Dusun, Jeli pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!