DBKL tolak 48 permohonan operasi bazar Ramadan

Antara lokasi bazar Ramadan yang tidak dibenarkan operasi kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan DBKL. Gambar kecil: Mahadi
Antara lokasi bazar Ramadan yang tidak dibenarkan operasi kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan DBKL. Gambar kecil: Mahadi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan 48 tapak bazar Ramadan kerana tidak memenuhi kriteria syarat ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, DBKL telah meletakkan beberapa kriteria yang perlu dipatuhi bagi memastikan operasi bazar Ramadan tidak memberi kesan kepada penduduk setempat sepanjang beroperasi selama sebulan.

"Sudah tentu ketika penilaian dibuat, kita menyediakan kriteria. Kita juga lihat rekod-rekod lepas, sama ada lokasi berkenaan sesuai untuk operasi bazar atau boleh sebabkan kacau ganggu kepada kawasan kejiranan dan pembangunan sekitar.

"Selain itu, kita juga titikberatkan aspek keselamatan dan susun atur petak niaga supaya pengunjung selesa dan tidak terlalu bersesak," katanya.

Kemeriahan tapak bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri pada hari pertama Ramahan, Khamis lalu.
Kemeriahan tapak bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri pada hari pertama Ramahan, Khamis lalu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kekecewaan beberapa peniaga yang tidak dapat berniaga selepas permit bazar tidak diluluskan DBKL pada tahun ini.

Ditanya sama ada DBKL akan menyediakan alternatif tapak bagi membolehkan mereka berniaga, Mahadi berkata, pihaknya bersedia menyalurkan bantuan mengikut kesesuaian.

"Saya tidak pasti jika mereka kekal beroperasi di tempat yang tidak dibenarkan itu. Kalau masih beroperasi maka tindakan bersesuaian akan diambil untuk menangani isu ini.

"Kita faham mereka ingin mencari pendapatan ketika Ramadan bagi menyara keluarga. Jika ada kawasan alternatif yang dirasa sesuai sudah tentu DBKL akan melihat alternatif berkenaan," katanya.

Tegasnya, jika lokasi tersebut tidak sesuai, DBKL tidak akan membenarkan operasi bazar dijalankan kerana dikhuatiri akan menyebabkan masalah berbangkit termasuk aspek keselamatan, kacau ganggu dan keselesaan pengunjung.

Beliau berkata, sejumlah 62 bazar Ramadan telah diluluskan DBKL bagi tahun ini yang satu daripadanya di bawah seliaan DBKL manakala 61 yang lain dikendalikan penganjur persendirian.

"Satu lokasi berada di bawah seliaan DBKL iaitu tempat letak kereta Taman Tasik Permaisuri membabitkan 160 petak penjaja.

"61 lokasi dikendalikan penganjur persendirian melibatkan 3,765 petak di 11 kawasan Parlimen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!