Maritim Kelantan lupus 11 bot bernilai RM11.15 juta

Maritim Kelantan melupuskan 11 bot bernilai RM11.15 juta untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri ini sepanjang Januari hingga Mac.
Maritim Kelantan melupuskan 11 bot bernilai RM11.15 juta untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri ini sepanjang Januari hingga Mac.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan melupuskan 11 bot bernilai RM11.15 juta untuk dijadikan tukun tiruan di perairan negeri ini sepanjang Januari hingga Mac.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kesemua bot tersebut adalah yang dilucut hak oleh mahkamah.

"Ia telah melalui proses pemilihan ketat sebelum diluluskan untuk ditenggelamkan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku, tidak mudah pecah dan lebih tahan untuk dijadikan tukun tiruan,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan Tok Bali di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pada Khamis lalu Maritim Malaysia Kelantan telah melupuskan empat lagi bot nelayan asing Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah.

Ujarnya, ia dilakukan secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak 5.3 batu nautika daripada Kuala Besar, Kota Bharu.

Syed Nor Adli berkata, kesemua bot tersebut merupakan tahanan semasa Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai pada tahun 2021 dan 2022.

"Ia juga melibatkan tahanan ke atas 11 kru termasuk tekong warga Vietnam dengan nilaian rampasan sebanyak RM4.05 juta termasuk 7,500 liter diesel dan peralatan navigasi serta tangkapan ikan.

"Kesemua tahanan disabitkan dengan kesalahan bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan tekong turut didapati bersalah bawah Seksyen 16 (3)," katanya.

Menurut beliau, nilai denda mahkamah bagi kesemua yang ditahan berjumlah RM11.2 juta.

Tambahnya, kesemua kru dan tekong memilih untuk dipenjarakan antara tempoh tiga hingga lapan bulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!