Ustaz Don dilantik Ikon Mahabbah YIDE kali ketiga
TANJONG KARANG - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melantik pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid sebagai ikon mahabbah pada tahun ini.
Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, pelantikan Don Daniyal atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don itu adalah kali ketiga sejak tahun 2021.
Menurut beliau, peranan utama yang boleh disumbangkan Ustaz Don sebagai Ikon Mahabbah adalah menjenamakan YIDE kepada masyarakat umum supaya mengenali yayasan itu dengan lebih dekat dan mengetahui fungsi-fungsi kebajikan yang dilaksanakan.
"Antara lain juga Ustaz Don akan membantu YIDE dari segi mendapatkan kutipan sumbangan orang awam atau syarikat korporat melalui program-program yang dijalankan YIDE.
"Insya-ALLAH sepanjang Ramadan ini YIDE dan Ustaz Don akan jelajah ke tiga daerah lagi untuk menyampaikan tazkirah khas Ramadan berkenaan infaq kepada anak-anak yatim," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan YIDE kepada anak yatim di Masjid Kampung Sungai Terap di sini pada Ahad.
Pada majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli untuk menyampaikan sumbangan YIDE berjumlah 129,600 di Masjid Kampung Sungai Terap.
Baginda yang tiba jam 12 tengah hari menyampaikan sumbangan wang tunai RM150 kepada setiap 864 anak yatim di daerah Kuala Selangor bagi membantu meringankan beban menyambut Aidilfitri bulan depan.
Mazlan memberitahu, sumbangan YIDE itu dapat membantu menghadapi persiapan Aidilfitri bulan depan dan diharapkan supaya anak-anak yatim terus dilimpahi rezeki bukan saja di bulan Ramadan tetapi juga di bulan lain.
"Hari ini juga seramai 11 Ketua Sahabat Prihatin YIDE (K-SPY) untuk Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam menerima sijil penghargaan daripada YIDE sebagai tanda terima kasih atas komitmen yang diberikan dalam membantu YIDE mengedarkan Kupon Infaq Yatim YIDE pada bulan Ramadan.
"Ketua Sahabat Prihatin YIDE adalah wakil YIDE di setiap zon yang telah dilantik bagi membantu YIDE dan seramai 45 K-SPY berada telah ditempatkan di seluruh daerah negeri Selangor ini," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!