Arsenal perlu ikat Saka 10 tahun
BEKAS pemain Arsenal, Kolo Toure menggesa Arsenal belajar daripada kesilapan lalu dan menawarkan kontrak jangka panjang selama 10 tahun buat Bukayo Saka.
Saka memainkan peranan besar dalam usaha The Gunners untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menjaringkan 12 gol dalam saingan liga domestik musim ini.
Pemain sayap itu juga mencipta rekod untuk England dalam Piala Dunia di Qatar tahun lepas, membolosi gawang tiga kali dan menimbulkan ancaman besar buat pasukan lawan.
“Satu perkara yang saya perlu katakan. Nasihat saya kepada Arsenal ialah Bukayo Saka perlu tandatangani kontrak selama 10 tahun!,” katanya
Kontrak Saka bersama The Gunners adalah sehingga akhir musim depan, namun difahamkan dia bakal menandatangani perjanjian baharu.
Toure yang beraksi di Emirates selama tujuh tahun dari 2002 hingga 2009 memberitahu, satu kesilapan yang Arsenal lakukan selama ini ialah melepaskan pemain penting yang menyayangi kelab.
“Anda mesti mengekalkan pemain ini kerana dia adalah pemain yang akan memimpin pasukan untuk anda.
“Saka adalah pemain yang boleh diharapkan. Dia adalah pemain yang dalam keadaan sukar sekalipun akan tetap memberikan yang terbaik kepada kelab.
“Anda mempunyai dua jenis pemain. Pemain yang menyayangi kelab serta pemain yang datang dan pergi. Anda memerlukan pemain yang menyayangi kelab kerana ini adalah pemain yang akan berjuang dengan hati mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!