YIDE galak umat Islam infak secara dalam talian

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sambil diperhatikan Mazlan (berdiri depan dua kanan) menunaikan infak pada Majlis Penyampaian Sumbangan YIDE kepada anak yatim di Masjid Kampung Sungai Terap pada Ahad.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sambil diperhatikan Mazlan (berdiri depan dua kanan) menunaikan infak pada Majlis Penyampaian Sumbangan YIDE kepada anak yatim di Masjid Kampung Sungai Terap pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Umat Islam digalakkan menggunakan aplikasi dalam talian kupon infak Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi membantu meringankan beban individu memerlukan di negeri ini.

Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, penggunaan aplikasi dalam talian itu lebih mudah dan cepat serta mesra pengguna.

"Pengguna hanya perlu memuat naik aplikasi kupon infak YIDE dan mereka boleh menyumbang pada bila-bila masa sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan YIDE kepada anak yatim di Masjid Kampung Sungai Terap di sini pada Ahad.

Mazlan berkata, sumbangan infak melalui platform media sosial itu juga diharap dapat meningkatkan jumlah kutipan sepanjang Ramadan ini.

"Kita menyasarkan sumbangan kupon infak pada tahun ini berjumlah RM2 juta dan melalui sumbangan menggunakan aplikasi dalam talian dapat menyumbang kepada peningkatan kutipan," ujar beliau.

Jelas beliau, bagi memudahkan orang ramai, YIDE turut mengedarkan kupon infak yatim di semua masjid di Selangor.

Katanya, hasil kutipan infak itu digunakan bagi tujuan sumbangan kepada anak yatim seperti bantuan berbentuk keperluan dan pakaian sekolah.

"Kita berharap kutip infak kali ini melebihi tahun lalu iaitu RM1.3 juta dalam keadaan negara masih baru pulih daripada PKP (Perintah Kawalan dan Pergerakan)," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!