Ahli politik jangan guna agama untuk popular - Sultan Selangor
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa semua ahli politik tidak mengira agama supaya tidak menggunakan agama, semata-mata untuk menjadi popular.
Dalam wawancara bersama The Star, baginda bertitah bahawa ahli politik sewajarnya melakukan kaji selidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komen berhubung kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan melawat rumah ibadat agama lain.
Baginda bertitah lagi, umat Islam dibenarkan melawat rumah ibadat agama lain selagi tidak mengambil bahagian dalam upacara keagamaan mereka.
Baginda merujuk kepada tindakan Allahyarham datuk baginda Sultan Alam Shah menghadiri upacara menaiki takhta Ratu Elizabeth II pada 1953 yang diadakan di gereja Westminster Abbey di London.
“Baginda baru sahaja pulang dari Makkah, dan kemudian mendapat nasihat Mufti negeri sama ada wajar untuk menghadiri upacara berkenaan.
“Mufti berkata tiada sebarang masalah selagi tidak mengambil bahagian dalam sebarang upacara keagamaan seperti berdoa,” titah Sultan Sharafuddin.
Titah baginda lagi, kenyataan oleh MAIS adalah jelas bahawa umat Islam tidak dibenarkan melawat rumah ibadat untuk mempelajari tentang agama lain.
Sehubungan itu, titah baginda, undang-undang negeri dan persekutuan bagi melindungi agama Islam di Selangor adalah jelas dan perlu dihormati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!