Penduduk berbuka puasa dalam banjir

Zaitun mengeringkan bantal dan tilam yang basah akibat banjir di Kampung Sungai Relong, Kamunting pada Ahad.
Zaitun mengeringkan bantal dan tilam yang basah akibat banjir di Kampung Sungai Relong, Kamunting pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Kejadian banjir yang melanda Kampung Sungai Relong, Kamunting di sini pada Sabtu disifatkan penduduk sebagai terburuk dalam tempoh tiga tahun.

Seramai 79 mangsa daripada 21 keluarga terpaksa berbuka puasa dalam banjir sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jana.

Penduduk, Zaitun Mat, 58, berkata, air naik terlalu cepat sehingga paras 0.5 meter menyebabkan banyak kelengkapan rumah termasuk pakaian ditenggelami air.


Zaitun
Zaitun

"Kami hanya menjamah sedikit makanan untuk buka puasa menggunakan apa yang ada kerana pinggan mangkuk habis tenggelam. Pada masa sama, kami cuba selamatkan barangan lain ke tempat tinggi.

"Kami tidak jangka kali ini rumah dimasuki air. Kebiasaannya hanya di halaman dan tidak pernah setinggi ini. Kali terakhir banjir tiga tahun lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut nenek kepada lapan cucu itu, banjir kali ini dianggap sebagai satu ujian dan mereka fokus untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur.

"Banyak yang perlu dibersihkan terutama pakaian. Kelengkapan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh mungkin tidak boleh digunakan lagi.

"Tilam-tilam ini memakan masa beberapa minggu untuk dikeringkan. Berbuka puasa kali ini pun, kami hanya beli di kedai, terlalu penat untuk bersih lumpur-lumpur ini," katanya.

Pada masa sama, dua beradik warga emas meminta bantuan sukarelawan untuk membantu membersihkan rumah mereka di Jalan Hamid 1 di sini, yang turut ditenggelami air dalam kejadian itu.

Kata Habsah Ley, 69, dia bersama adiknya, Che Su Ley, 62, tidak mampu untuk mengangkat barangan seperti tilam untuk dikeringkan.

Buku teks sekolah dijemur selepas rumah penduduk di Kampung Sungai Relong, Kamunting dinaiki air banjir pada Sabtu.
Buku teks sekolah dijemur selepas rumah penduduk di Kampung Sungai Relong, Kamunting dinaiki air banjir pada Sabtu.

"Kami berdua bersihkan sedikit demi sedikit, angkat barangan ringan sahaja. Bilik solat sudah dibersihkan tetapi bilik tidur dan lain-lain mungkin ambil masa.

"Sekiranya ada pihak yang sudi membantu, kami sangat alu-alukan. Tidak mampu kami hendak bersihkan lumpur tebal ini," katanya.

Media melaporkan seramai 179 mangsa daripada 47 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat PPS di daerah Larut Matang dan Selama akibat banjir di beberapa kawasan.

Habsah (kanan) bersama adiknya, Che Su membersihkan rumah mereka yang terjejas dalam kejadian banjir di Kamunting.
Habsah (kanan) bersama adiknya, Che Su membersihkan rumah mereka yang terjejas dalam kejadian banjir di Kamunting.

Selain PPS SK Bukit Jana, PPS SK Simpang dibuka bagi menempatkan 42 mangsa, Dewan Orang Ramai Sungai Baru, Bukit Gantang (12 mangsa) dan 46 mangsa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt di sini.

Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan PPS SK Simpang dan SK Bukit Jana ditutup pada jam 12.10 tengah hari dan 1.20 petang dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!