Hakim Danish naik podium di Portugal
PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli memulakan saingan Red Bull Rookies Cup 2023 dengan momentum positif apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan podium bagi Perlumbaan 2 di Portugal pada Ahad.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve itu, pelumba berusia 15 tahun yang membuat penampilan pertamanya di kejohanan itu memulakan saingan di petak kelapan.
Bagaimanapun pelumba muda itu tidak berdepan masalah untuk memberi cabaran kepada pelumba lain sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga.
Kejayaan yang diraih Hakim Danish itu menyaksikan dia berjaya menebus kekecewaan apabila sekadar menamatkan perlumbaan 1 pada Sabtu di tempat kelima.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Ini adalah podium pertama saya di Portimao dan musim pertama di Red Bull Rookies Cup.
“Perlumbaan ini sangat menakjubkan dan begitu sengit. Pelumba lain juga begitu pantas, namun saya berjaya memotong dan berada di podium,” katanya.
Pelumba Sepanyol yang memenangi Perlumbaan 1, Angel Piqueras mengekalkan penguasaannya sebagai juara bagi Perlumbaan 2 selepas menemui garisan penamat dengan catatan 26 minit 09.348 saat (s).
Rakan senegara Piqueras, Marcos Ruda berada di tempat kedua selepas ketinggalan 0.002s, manakala Hakim melengkapkan podium di tempat ketiga, 0.017s di belakang pemenang kali ini.
Selepas berakhir Pusingan 1, Hakim berada di tangga keempat dengan 27 mata manakala Piqueras memimpin carta kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.
Alvaro Carpe pula di kedudukan kedua dengan 30 mata manakala Ruda ketiga setelah mengutip 27 mata.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-10 dan mengakhiri pusingan pertama dengan 13 mata sebelum saingan beralih ke Litar Jerez, Sepanyol pada 29 dan 30 April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!