SOP ketat jaga kualiti padang Bukit Jalil

Hannah. - Foto Bernama
Hannah. - Foto Bernama
A
A
A

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pengurusan padang terbaik terutama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang akan menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, SOP tersebut adalah sebagai panduan kepada semua pihak yang menggunakan kemudahan PSM pada masa akan datang.

Beliau berkata, PSM sudah diminta untuk mengadakan perbincangan dengan kontraktor yang dilantik untuk menyediakan tatacara pengurusan padang terbaik tersebut.

“PSM akan mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor yang dilantik supaya dapat menyediakan SOP. Penyediaan SOP itu bagi mengekalkan konsep pelbagai guna Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Selain itu, jadual penganjuran acara akan dirancang dengan lebih teliti supaya selari dengan SOP atau tatacara yang akan disediakan.

“Penganjur acara perlu mematuhi SOP yang disediakan agar kualiti padang sentiasa berada di tahap yang terbaik,” tulis beliau di Facebooknya pada Ahad.

Hannah memberitahu, kerja penggantian rumput di stadium tersebut dijadualkan bermula pada April dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan.

Katanya, projek itu menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM2.3 juta serta sumbangan dana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“KBS dan PSM menjunjung kasih kepada TMJ atas dana tajaan yang dikurniakan bagi menjayakan projek penggantian rumput di Stadium Nasional," katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai proses kerja yang dijadualkan oleh kontraktor tersebut.

Menurut Hannah antara rumput yang pernah digunakan di Stadium Nasional tersebut adalah Bermuda Greenless Park (1998-2005) dan kemudian ditukar kepada jenis Marimo Seashore Paspalum Zoysia Material (2005 – 2013).

“Padang stadium itu juga pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Mountain Green Princess (2013-2015) dan Axonopus Compressus (2015 hingga kini),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!