Ismail Sabri kongsi rezeki Ramadan bersama pelajar tahfiz

Ismail Sabri ketika menyantuni pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada Ahad.
Ismail Sabri ketika menyantuni pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan mengagihkan 220 pek makanan berbuka puasa kepada pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat, Kuala Lumpur dan penghuni Rumah Limpahan Kasih, Puchong, Selangor pada Ahad.

Program Kongsi Rezeki Ramadan menyasarkan untuk mengagihkan 3,000 pek makanan berbuka puasa dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah.

Agihan bermula Khamis lalu melibatkan 200 pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) kampus Bangi, Selangor.

Menurut Ismail Sabri, inisiatif itu bertujuan memastikan golongan asnaf benar-benar dapat menikmati juadah yang enak dan berkualiti ketika berbuka puasa.

"Di saat kita mampu membeli pelbagai juadah berbuka dan menikmati makanan yang lazat, masih ada lagi mereka yang tidak bernasib baik.

"Menginsafi hal ini, Program Kongsi Rezeki Ramadan menyediakan juadah berbuka berupa pek makanan kepada golongan fakir miskin dan asnaf melalui pengagihan secara reach out kepada golongan sasar," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Tambah Ismail Sabri, acara itu dapat memupuk dan menyuburkan semangat Keluarga Malaysia, untuk saling membantu khususnya terhadap golongan memerlukan di bulan yang mulia ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!