Pembangkang hanya berani 'berkokok' di luar - Shamsul Iskandar

Shamsul Iskandar. - Foto Bernama
Shamsul Iskandar. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyelar tindakan pembangkang dan penyokong mereka yang dilihat sengaja mencari kekurangan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.

Bagaimanapun katanya, 'kelantangan' sedemikian tidak pula ditunjukkan oleh pemimpin berkenaan ketika berada di Dewan Rakyat yang sepatutnya mengambil peluang bertanya secara terus kepada Ahli Parlimen Tambun itu sekiranya ada ketidakpuasan hati.

Jelasnya, ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) setiap Selasa, 'bayang' pemimpin yang lantang bersuara di luar seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan langsung.

"Sebelum ini tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang sanggup meluangkan masa selama 30 minit untuk berada di Parlimen menjawab apa jua isu. Di mana Ketua Pembangkang (Hamzah), Pagoh (Muhyiddin) dan Marang (Abdul Hadi) ketika Perdana Menteri menjawab soalan pada hari Selasa.

"Mana pemimpin yang kononnya lantang di luar menyerang Kerajaan Perpaduan tetapi ketika mana Perdana Menteri berada di Dewan Rakyat, bukan warung dan sebagainya, mereka tidak ada di barisan hadapan.

"Jadi, pada saya itu adalah kemunafikan pada tahap yang tinggi, maknanya (apabila) ada forum tapi tidak manfaat, di luar berkokok tetapi di dalam seperti tikus, menikus," katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Twitter miliknya pada Ahad.

Media melaporkan, Anwar mengadakan sesi lawatan rasmi buat julung kali ke Arab Saudi selama tiga hari yang bermula pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, pembangkang pada Sabtu membangkitkan tiga isu bagi menggambarkan lawatan Anwar dan delegasinya ke Arab Saudi sebagai gagal.

Antara isu yang dimainkan pembangkang adalah tiada pertemuan antara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz atau Putera Mahkotanya, Mohammed Salman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!