Bekalan telur ayam di Terengganu menurun pada Ramadan

Anggota KPDN meninjau bekalan telur ayam di sebuah premis. Foto: KPDN
Anggota KPDN meninjau bekalan telur ayam di sebuah premis. Foto: KPDN
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesahkan bekalan telur ayam bagi keperluan penduduk di negeri ini menurun sehingga 33 peratus pada bulan Ramadan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, bekalan harian yang diterima pada bulan puasa adalah sekitar 400,000 biji berbanding 600,000 sebelum ini sedangkan keperluan telur ayam penduduk negeri ini adalah sebanyak 1 juta biji sehari.

Menurutnya, maklum balas daripada pihak pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan mendadak ini adalah kerana kekurangan bekalan diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang.

“Kekurangan bekalan ini adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang lebih mengutamakan pasaran setempat.

“Untuk makluman, tiada penternakan ayam penelur di Terengganu dan kita mendapat bekalan telur ayam daripada pengusaha ladang di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Anggota KPDN melakukan pemeriksaan bekalan telur ayam di pasaraya pada Ahad. - Foto: KPDN
Anggota KPDN melakukan pemeriksaan bekalan telur ayam di pasaraya pada Ahad. - Foto: KPDN

Saharuddin berkata, pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga bazar Ramadan pada bulan puasa juga menyebabkan premis tertentu kehabisan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperolehi sebagaimana yang dijadualkan.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan KPDN pada Ahad mendapati daripada 13 pemborong telur ayam dan 39 peruncit terpilih di negeri ini, hanya satu pemborong dan satu peruncit sahaja yang kehabisan bekalan.

“Premis berkenaan sudah pun membuat tempahan dan peladang atau pemborong akan membuat edaran dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau memaklumkan, KPDN Terengganu sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan telur ayam ke atas 160 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 74 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di seluruh negeri secara harian.

Jelas beliau, beberapa tindakan proaktif turut dilaksanakan KPDN antaranya memantau keberadaan telur ayam secara komprehensif, bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan menjalankan pemeriksaan di peringkat penternak, pemborong dan peruncit dari segi pengeluaran serta pengedaran.

“Penguatkuasaan yang dijalankan oleh KPDN di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 berperanan memastikan telur ayam dijual kepada pengguna pada harga yang munasabah di pasaran.

“Saya mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga, kita juga memerlukan kerjasama daripada pengguna supaya membuat pembelian berhemah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!