Bunyi ketukan pada buluh pikat pelanggan

Mohd Afif menunjukkan nasi beriani buluh yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Jalan Stadium, Alor Setar.
Mohd Afif menunjukkan nasi beriani buluh yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Jalan Stadium, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang peniaga mencipta kelainan dengan menjual nasi beriani menggunakan buluh bagi menarik pelanggan ke gerainya di Bazar Ramadan Jalan Stadium di sini.

Peniaga, Mohd Afif Al Jufri Daud, 35, berkata, usahanya ternyata membuahkan hasil apabila nasi beriani buluh disediakan mendapat perhatian dan habis dijual setiap hari.

Mohd Afif memberitahu, nasi beriani yang dihasilkannya begitu istimewa kerana nasi ditanak dalam buluh bersama ayam atau daging kambing dengan rempah ratus tersendiri.

“Selepas siap ditanak, saya akan mengetuk buluh untuk mengeluarkan nasi bersama ayam ataupun daging kambing ke dalam bekas makanan untuk dijual kepada pelanggan.

“Setiap kali saya ketuk buluh, memang ia menarik pelanggan untuk merasai keenakan nasi beriani buluh ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Afif mengetuk nasi beriani keluar dari buluh. Ketukan pada buluh berjaya menarik pengunjung bazar Ramadan untuk merasai keenakan nasi beriani tersebut.
Mohd Afif mengetuk nasi beriani keluar dari buluh. Ketukan pada buluh berjaya menarik pengunjung bazar Ramadan untuk merasai keenakan nasi beriani tersebut.

Tambahnya, cara mengetuk dan bunyi ketukan untuk mengeluarkan nasi beriani dari buluh menjadikan hidangan itu lebih unik.

Jelas Mohd Afif, nasi beriani dalam buluh perlu diketuk selepas masak untuk memastikan ia tidak melekit.

Menurutnya, buluh yang digunakan bukan hanya membangkitkan lagi aroma wangi, malah menambahkan rasa manis pada nasi beriani tersebut.

“Selain itu, nasi yang dimasak memiliki rasa lebih berlemak yang cukup menyelerakan,” kata pemilik gerai nasi beriani sakan masak dalam buluh itu.


Mohd Afif menjual nasi beriani ayam pada harga RM12.90, manakala nasi beriani daging kambing pula RM19.90.
Mohd Afif menjual nasi beriani ayam pada harga RM12.90, manakala nasi beriani daging kambing pula RM19.90.

Ujar Mohd Afif, dia menjual nasi beriani ayam pada harga RM12.90, manakala nasi beriani daging kambing pula RM19.90.

“Setiap hari, kami berjaya menjual sehingga 50 batang nasi beriani buluh dan sajian ini sememangnya semakin mendapat tempat di hati masyarakat yang ingin mencuba masakan unik ini,” ujarnya.

Jelasnya, hidangan nasi beriani buluh sebenarnya masih baharu di Kedah namun tetap mendapat sambutan daripada kalangan penggemar nasi beriani yang inginkan kelainan.

Mohd Afif berkata, buat masa ini, dia hanya menjual nasi beriani buluh di bazar Ramadan.