Netanyahu pecat Menteri Pertahanan
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memecat Menteri Pertahanan, Yoav Galant pada Ahad kerana dilihat menyebelahi penunjuk perasaan yang mahu rombakan badan kehakiman dihentikan.
Galant dipecat sehari selepas beliau menggesa agar rancangan kontroversi Netanyahu dibekukan atas faktor keselamatan.
Menurut Galant, cadangan tersebut telah menyebabkan perpecahan warga Israel dan merosakkan moral tentera.
Sekutu rapat Netanhayu dalam Parti Likud itu mahu rang undang-undang (RUU) untuk meluluskan rombakan tersebut ditangguh selama sebulan selain menggesa dialog dengan pembangkang.
Kenyataan Galant tidak disenangi Netanyahu, namun mendapat pujian ketua pembangkang, Yair Lapid yang menyifatkan ia sebagai tindakan berani dan bermaruah.
Malah, dua anggota Parti Likud lain turut menyatakan sokongan terhadap Galant menerusi ciapan di Twitter.
"Netanyahu adalah ancaman kepada keselamatan negara Israel," ujar Lapid.
Susulan pemecatan mengejut Galant, penunjuk perasaan berhimpun serta menyalakan unggun api dan menghadang laluan utama di Bersyeba, Haifa dan Baitulmaqdis.
Difahamkan, pemimpin perniagaan, pakar undang-undang dan pemimpin tentera yang bersara akan terus menyertai tunjuk perasaan, manakala pihak tentera simpanan Israel mengancam untuk berhenti melaporkan diri bertugas jika rombakan diteruskan.
Protes besar-besaran di Tel Aviv sudah memasuki minggu ke-12 yang menyaksikan semakin ramai warga Israel menentang rancangan Netanyahu untuk merombak badan kehakiman Israel, sekali gus melemahkan Mahkamah Agung negara itu dengan meletakkan lebih kuasa di tangan Parlimen.
Rancangan itu dicadangkan pada Januari lalu, beberapa minggu selepas gabungan ultranasionalis Netanyahu, kerajaan Israel paling kanan dalam sejarah negara itu dilantik.
Penunjuk perasaan mendakwa perubahan itu dilihat sebagai mencabul demokrasi dan langkah memperalatkan mahkamah untuk kepentingan peribadi Netanyahu yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah, penipuan dan pecah amanah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!