[VIDEO] Ahmad Zahid berjaya peroleh pasport secara kekal
PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.
Ketika memutuskan demikian, Hanipah berkata, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu, selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu, menolak permohonan pasport secara kekal.
“Setelah meneliti afidavit Ahmad Zahid selaku pemohon, mahkamah berpuas hati bahawa ia adalah bermerit maka permohonan ini dibenarkan,” katanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob selaku responden tidak membantah permohonan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.
Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.
Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.
Sementara itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata, Ahmad Zahid berjaya mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal.
“Berikutan keputusan berkenaan, hanya tertakluk kepada jaminan RM2 juta tanpa syarat tambahan lain,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai.
Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.
Berdasarkan notis usul yang difailkan, Ahmad Zahid, 70, memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.
Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata, Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.
Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.
Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.
Oleh itu katanya, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia.
Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa, permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide iaitu berniat jahat atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!