200 Nasi Kandar Rahmah diberi percuma
SEREMBAN - Bagi memberi galakan kepada lebih ramai peniaga makanan untuk menyediakan Menu Rahmah, UMNO Bahagian Seremban mengambil inisiatif mengagihkan 200 Nasi Kandar Rahmah percuma kepada orang ramai pada Ahad.
Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mazalan Maarop berkata, usaha itu secara tidak langsung sebagai promosi kepada peniaga yang secara sukarela menjual menu berkenaan.
"Kita memahami dalam keadaan harga barang yang meningkat hari ini, ramai yang terkesan termasuklah para peniaga.
"Walaupun begitu, tetap ada peniaga bermurah hati tawarkan Menu Rahmah dan sebagai tanda sokongan, UMNO Bahagian Seremban telah beli makanan tersebut dan agihkan kepada orang ramai sebagai satu bentuk promosi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, pujian patut diberikan kepada peniaga yang menyahut saranan kerajaan dengan terlibat dalam inisiatif tersebut meskipun turut sama menanggung kos tambahan akibat kenaikan harga barang mentah.
Tambahnya, menjadi keperluan kepada semua pihak untuk sama-sama menyemarakkan program Menu Rahmah yang ternyata baik untuk rakyat.
"Dengan harga RM5 untuk satu set nasi ia sangat berpatutan dan semestinya dapat membantu meringankan beban segelintir masyarakat untuk membeli makanan.
"Insya-ALLAH selepas ini kita akan cari lagi peniaga Menu Rahmah di kawasan lain untuk membantu promosikan kedai mereka pula," katanya.
Sementara itu pada program sama turut diagihkan 250 bekas bubur lambuk kepada orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!