Kerajaan belum tetapkan kriteria kelayakan subsidi bersasar

Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto: Bernama
Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum memutuskan kriteria kelayakan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat di negara ini yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketika ini satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah Kementeriannya dan agensi terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan pemberian subsisi bersasar itu.

Jelasnya, antara langkah yang diambil termasuklah mengumpul data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

“Penetapan kriteria kelayakan (individu yang layak dapat subsidi bersasar) masih belum diputuskan, namun usaha untuk membangunkan pengumpulan data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperolehi.

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 tidak terjejas,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN - Putrajaya) yang memintanya menyatakan bila subsidi bersasar akan dilaksanakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, langkah pemberian subsidi yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini dilihat berjaya mengurangkan kesan kos sara hidup rakyat, namun pelaksanaan yang tidka bersasar menyebabkan ketirisan berlaku.

Justeru katanya, kerajaan komited melaksanakan pemberian subdiis secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan yang memberi kesan besar kepada kewangan negara.

“Langkah pertama yang diambil adalah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri.

“Melalui langkah ini kerajaan masih menanggung jumlah subsidi sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak RM14.9 bilion,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai pendekatan yang digunakan dalam melaksanakan subsidi bersasar iaitu sama ada melalui penyaluran tunai atau kupon, beliau menjelaskan perkara itu masih dirangka.

“Semuanya masih di rangka, tapi kita sedang menyiapkan apa yang dipanggil Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan sistem (ini) dijangka siap pada separuh tahun kedua 2023 iaitu sama ada antara Jun hingga Ogos,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!