Tottenham, Conte bawa haluan masing-masing
TOTTENHAM Hotspur mengumumkan perpisahan dengan Antonio Conte, lapan hari selepas amarah pengendali dari Itali itu berikutan keputusan seri berdepan Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris setelah kelab London tersebut membuang kelebihan dua gol awal.
Keputusan di Stadium St Mary's itu menyaksikan Spurs kekal di tangga keempat dalam liga, namun hanya dua mata di atas Newcastle United yang mempunyai kelebihan dua perlawanan.
Selepas seri 3-3 Conte, yang kontraknya akan tamat pada Jun, memberikan serangan lisan yang pedas ke atas pemainnya apabila menuduh mereka mementingkan diri sendiri.
Ketika masih dalam saingan untuk menduduki tempat empat teratas, Spur juga tunduk daripada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara kepada AC Milan bulan ini dan tersingkir dari Piala FA kepada kelab Divisyen Dua, Sheffield United.
Conte dilantik memimpin Spurs pada November 2021 selepas pemecatan Nuno Espirito-Santo.
"Kami mengumumkan bahawa pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte telah meninggalkan kelab dengan persetujuan bersama. Kami mencapai kelayakan Liga Juara-Juara pada musim pertama Antonio di Tottenham. Kami mengucapkan terima kasih kepada Antonio atas sumbangannya dan mendoakannya berjaya pada masa depan.
“Cristian Stellini akan mengambil Tottenham sebagai pemangku pengurus untuk baki musim ini, bersama Ryan Mason sebagai penolong pengurus.
“Kami mempunyai 10 baki perlawanan Liga Perdana Inggeris dan mempunyai pertarungan untuk tempat Liga Juara-Juara. Kami semua perlu bersatu dan semua orang perlu melangkah untuk memastikan penamat yang paling tinggi untuk Tottenham demi penyokong setia yang menakjubkan," kata pengerusi Spur, Daniel Levy dalam satu kenyataan
Penyingkiran Liga Juara-Juara menamatkan harapan Spurs untuk meraih trofi untuk satu musim lagi dan melanjutkan kepada 15 tahun penantian, dengan trofi terakhir kelab itu hadir pada 2008 apabila menjulang Piala Liga dengan menewaskan Chelsea.
Conte bekas pengurus Juventus dan Chelsea, tampil hebat dengan Spurs musim lalu selepas menggantikan bekas pengurus Wolverhampton Wanderers, Espirito Santo, membawa Tottenham ke Liga Juara-Juara, namun berdepan prestasi tidak konsisten musim ini yang menguji kesabaran penyokong-penyokong.
“Cerita Tottenham bermula begini - 20 tahun ada pemilik ini (Levy) dan mereka tidak pernah menang apa-apa. Kenapa?
“Kesalahan hanya untuk kelab, atau untuk setiap pengurus yang kekal di sini. Saya telah melihat semua pengurus Tottenham sebelum ini.
“Sudah tiba masanya untuk mengubah keadaan ini jika Tottenham mahu berubah. Jika mereka mahu meneruskan cara ini, mereka boleh menukar pengurus, ramai pengurus, tetapi keadaan tidak boleh berubah. Percayalah," kata Conte selepas perlawanan di laman The Saints itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!