Bapa lemas selepas selamatkan anak dalam kereta terjatuh sungai

Mangsa ditemukan lemas kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
Mangsa ditemukan lemas kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
A
A
A

PUTATAN - Seorang lelaki ditemui lemas selepas menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaan yang di parkir di tepi sungai berhampiran Jalan Imbaan Sailan di sini.

Mangsa, Lasibi Lawadihu, 40, ditemukan pada jam 9.15 pagi oleh Unit Drone Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Difahamkan, mangsa memancing di sungai berkenaan manakala anaknya berada di dalam kenderaan terbabit.

Pemangku Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Penampang, Rony Sikawan berkata, mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sungai berkenaan.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.50 petang Ahad apabila kenderaan jenis Perodua Myvi yang diletakkan di tepi sungai tergelongsor sendiri ke sungai di mana anak mangsa lelaki berusia lima tahun berada di dalamnya.

"Mangsa yang menyedari kereta yang diletakkan di tebing sungai itu tergelongsor segera bertindak menyelamatkan anaknya. Mangsa kemudian berjaya mengeluarkan anaknya dari kenderaan terbabit, namun dia tidak sempat keluar dari sungai berkenaan.

"Orang awam yang berada di lokasi bertindak membantu menyelamatkan anak mangsa dengan membawanya ke tebing sungai. Namun, apabila mereka menoleh semula ke belakang, mangsa telah pun hilang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Rony lagi, ketika mengeluarkan anaknya, mangsa mungkin kehabisan tenaga hingga tidak mampu untuk membawa anaknya hingga ke tebing sebelum dilaporkan hilang.

"Kereta yang tergelongsor itu telah tenggelam ke dalam sungai dan operasi SAR mangsa yang dimulakan petang hari kejadian sebelum diteruskan pada pagi Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!