Peniaga pekasam didakwa buat hantaran jelik terhadap Sultan Johor

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEPANG - Seorang peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di laman sosial Twitter, pada tahun lepas.

Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil ‘Fadzelli6’.

Hantaran tersebut dibaca pada 25 November tahun lepas kira-kira 2 petang di Tingkat 19, Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya di sini.

Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazil Sani Mohamed Fadzil yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan kepada Nor Fadzelli.

Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia sebagai anak sulung menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibunya menjual ikan pekasam.

Azrol membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!