Tidak timbul isu PM tak dialu-alukan di Arab Saudi - Penganalisis

Anwar dan delegasi selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi. - Facebook Anwar Ibrahim
Anwar dan delegasi selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi. - Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Adalah salah bagi pengkritik mendakwa bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini tidak berhasil hanya kerana beliau tidak bertemu Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kata penganalisis.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kunjungan Perdana Menteri ke negara itu selama tiga hari baru-baru ini adalah atas jemputan pemimpin tertinggi Arab Saudi itu sendiri.

"Kalau tuduhan mengatakan Raja Salman dan Putera Mahkota seperti tidak mengalu-alukan Anwar, kenapa Anwar mendapat undangan? Dan lawatan itu mendapat komitmen sepenuhnya daripada konglomerat Saudi.

"Ini menunjukkan walaupun tak bertemu dengan Raja Saudi dan Putera Mahkota, bukanlah bermaksud Anwar tak direstui dan sebagainya. Tetapi disebabkan situasi tentatif menyebabkan pertemuan itu tidak dapat dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sebagai Penjaga Dua Kota Suci umat Islam, adalah perkara biasa apabila terdapat perubahan pada jadual Raja Salman terutamanya apabila memasuki bulan Ramadan.

Perkara itu juga katanya, telah dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri yang memberitahu beliau diminta untuk melanjutkan keberadaannya di Arab Saudi, namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan komitmen lain serta jadual yang ketat.

"Raja Saudi ini biasa begitu, bila masuk musim Ramadan dia ada perubahan yang ada kaitan dengan tatacara mereka. Dan mereka minta supaya Perdana Menteri melanjutkan lagi dua hari. Tetapi oleh kerana Perdana Menteri ada jadual ketat termasuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan akan berlepas ke Kemboja, jadi beliau tak dapat,” katanya.

Pendapatnya itu disokong Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang berkata pembatalan atau penangguhan jadual lawatan adalah perkara biasa sekiranya terdapat keadaan yang memaksa perubahan jadual di saat akhir.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat perkara yang lebih perlu diberikan perhatian berkaitan negara sehingga terpaksa membatalkan pertemuan dengan Anwar selain masa lawatan yang singkat selama tiga hari.

"Kalau tidak jumpa, itu isu biasa berlaku sekiranya ada keadaan-keadaan yang memaksa perubahan jadual di saat akhir, kalau ada hal-hal kecemasan, kadang-kadang benda ini di luar jangkaan yang agak sukar untuk kita jangka," katanya.

Mohd Azizuddin berkata, lawatan tersebut tidak boleh dilabel sebagai lawatan yang gagal kerana sekiranya dilihat dari segi pihak Arab Saudi menyambut ketibaan Anwar, ia merupakan sambutan rasmi diiringi oleh para tentera.

"Oleh itu, Perdana Menteri diminta lanjutkan lagi dua hari untuk melengkapkan perjumpaan, tetapi beliau ada jadual yang padat sebab perlu ke Kemboja dan China," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam satu kenyataan pula berkata, walaupun tidak sempat bertemu dengan pemimpin tertinggi negara itu, Anwar tetap mencatat kejayaan termasuk dari segi ekonomi.

Beliau turut mempersoalkan apakah yang dimaksudkan gagal oleh pembangkang yang mengkritik lawatan tersebut.

"Adakah ia tidak berjaya hanya kerana Anwar tidak dapat berjumpa dengan Raja Salman dan Putera Mahkota atau ada hujah lain yang lebih substantif? Dalam hal ini, Perdana Menteri telah menjelaskan sebabnya," katanya.

Sementara itu Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, lawatan tersebut adalah berjaya kerana telah membuka satu bentuk dasar hubungan dengan negara Arab Saudi.

"Kejayaan itu kerana Perdana Menteri telah membentuk satu hubungan diplomasi luar perhubungan awam yang lebih baik dengan kuasa strategik dunia ataupun perhubungan elemen geostrategik di timur tengah seperti Arab Saudi iaitu sebuah kepimpinan kuasa yang diiktiraf di rantau tersebut," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama perhubungan diplomasi tersebut turut terkandung dalam aspek teras keselamatan negara yang kesembilan iaitu mendapat pengiktirafan antarabangsa yang menjadi penting untuk mewujudkan satu bentuk keyakinan dan diplomasi perhubungan awam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!