Pas NS terbuka siapa calon MB
SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan terbuka untuk menerima siapa saja calon Menteri Besar yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) meskipun ia bukan dari kalangan parti itu.
Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, soal siapa Menteri Besar bukan menjadi keutamaan ketika ini kerana paling penting adalah memastikan kemenangan PN dahulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
"Kita tak ambil kisah sangat siapa calon Menteri Besar, ia bukanlah isu besar kerana pentingnya kita nak menang dulu sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membolehkan PN memerintah Negeri Sembilan.
"Ia sasaran yang bukan mustahil walaupun tak mudah untuk dicapai. Jadi kita di peringkat negeri akur saja calon MB yang telah diputuskan oleh PN pusat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau bagaimanapun mengakui sudah mengetahui secara umum siapa calon Menteri Besar atau 'poster boy' PN di Negeri Sembilan, namun enggan mendedahkannya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PN telah memuktamadkan calon Menteri Besar atau 'poster boy' mereka di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam PRN tidak lama lagi.
Sementara itu kata Rafiei, soal pembahagian kerusi antara PN di Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN sudah hampir pasti dan sedang menunggu masa untuk dimuktamadkan.
"Secara umumnya kita dah buat perbincangan, cuma akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Perunding Kerusi PN.
"Saya difahamkan akan ada mesyuarat 8 April nanti yang akan melibatkan semua ketua parti di setiap negeri untuk bantu mereka dalam buat pembahagian kerusi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!