'Kasut Raya Rahmah' serendah RM20
JITRA - Seorang pemilik butik kasut di Kedah menawarkan 'Kasut Raya Rahmah' bermula harga serendah RM20 sepasang demi membantu golongan memerlukan mendapatkan kelengkapan Aidilfitri pada harga mampu milik.
Pemilik Butik Wanniz Shoppe, Haslina Wani Abdul Hamid, 40, berkata, dia mengambil inisiatif itu seiring dengan seruan kerajaan melaksanakan jualan rahmah bagi memudahkan pelanggan mendapatkan kasut pada harga berpatutan.
Haslina Wani berkata, dia ingin memastikan pelanggan tetap mampu bergaya cantik dengan kasut murah namun berkualiti pada hari raya nanti.
"Kasut kami tahan lama walaupun dijual pada harga murah. Tiada isu kalau jual murah kasut tak ada kualiti, kasut kami jual ada kualiti.
"Kasut dipakai tahan lama dan kami masih mampu memperoleh keuntungan meskipun menjual kasut jenama sendiri itu pada harga rendah," katanya ketika ditemui pemberita di butiknya pada Isnin.
Menurut Haslina Wani, dia sendiri pernah mengalami kesusahan apabila perniagaan pakaian yang diusahakan merudum pada tahun 2008 dan 2009 hingga wang dimiliki hanya berbaki 20 sen sebelum kembali bangkit dengan perniagaan sekarang.
"Golongan memerlukan dekat di hati, disebabkan itu saya jual kasut pada harga rendah berbanding sebelum ini," katanya yang kini memiliki dua cawangan kedai termasuklah butik di Alor Setar.
Selain Kasut Raya Rahmah, beliau memaklumkan turut menawarkan pelbagai reka bentuk kasut lain dengan harga berpatutan dan mampu milik.
Dalam pada itu, Haslina Wani berharap lebih ramai pemilik jenama tempatan bersama-sama memainkan peranan melaksanakan harga Rahmah seperti disarankankerajaan dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!