IPT disaran tidak jadikan ranking sebagai fokus utama
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan agar tidak menjadikan ranking dan penarafan antarabangsa sebagai fokus utama.
Timbalan Menteri, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, sebaliknya pihak universiti perlu menitikberatkan kualiti akademik dan proses pengajaran dalam melahirkan lulusan yang berketerampilan.
"Namun begitu, tidak dinafikan dalam setengah keadaan ranking (kedudukan) boleh digunakan sebagai kayu ukur dan penanda aras yang berguna untuk menentukan kekuatan sistem pendidikan negara, namun ranking tidak sepatutnya dilihat sebagai ukuran kualiti pendidikan yang tunggal konklusif dan muktamad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Isnin.
Kerajaan, katanya tidak meletakkan sebarang sasaran dan tidak mewajibkan mana-mana universiti dalam negara untuk mengejar ranking di peringkat antarabangsa.
"...disebabkan ranking antarabangsa sangat menjurus kepada hasil penyelidikan maka ranking universiti dunia hanyalah salah satu kayu pengukur yang dipantau oleh kementerian dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian pelajar dan institusi di negara ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!