Pan-gon yakin aksi mantap Harimau Malaya

Pan-gon bersama Shahrul Saad pada Sidang media berkenaan.
Pan-gon bersama Shahrul Saad pada Sidang media berkenaan.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin skuad kendaliannya itu tetap mampu beraksi mantap berdepan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa biarpun tanpa kelibat dua pemain, Ariff Aiman Hanapi Endrick Dos Santos yang dilaporkan mengalami kecederaan.

Menurut Pan-gon, berdasarkan pengalaman yang dimiliki sebagai pengurus dan jurulatih, mana-mana skuad kendaliannya tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pemain tertentu dan mengamalkan corak permainan berpasukan.

"Saya bersimpati dengan kedua-dua pemain ini yang menanti masa untuk beraksi. Namun sepanjang pengalaman saya selama lapan tahun sebagai jurulatih dan 12 tahun selaku pengurus, bukan setiap masa saya mendapat apa (pemain) yang saya mahukan dan malah tidak selalu mendapat apa (pemain) yang saya inginkan.

"Bagaimanapun, saya tetap yakin dengan pemain sedia ada. Kita ada 25 pemain, sesiapa sahaja boleh beraksi dan kita juga bukan hanya bergantung kepada satu atau dua pemain semata-mata.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya menewaskan Turkmenistan 1-0, Khamis lalu hasil jaringan tunggal, Akhyar Rashid pada minit ke-28.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Harimau Malaya kini melonjak pada ranking ke-140 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tambah Pan-gon, kesemua pemain diharap beraksi mengikut DNA bola sepak Malaysia yang sentiasa memberikan tekanan hebat kepada lawan hingga memaksa mereka melakukan kesilapan.

Bagaimanapun katanya, hanya pemain yang mampu memastikan sejauh mana corak permainan sedemikian dapat dipertahankan.

"Falsafah bola sepak kita adalah untuk menyaksikan DNA bola sepak Malaysia, kita akan berikan tekanan hebat kepada mereka (Hong Kong).

"Jika boleh, kita mahu mencatatkan kemenangan seperti yang dilakukan oleh skuad bawah-22 tahun kita (yang menang 2-1 ke atas Hong Kong pada final Piala Merlion, pada Ahad)," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Pan-gon berkata, kesemua pemain dilihat bersedia bagi mengharungi aksi berdepan Hong Kong.

"Sejak dua hari lalu, pemain telah mendapat rehat cukup dan telah melalui sesi pemulihan yang baik menjelang aksi persahabatan berkenaan.

"Kita juga berharap dapat memberikan aksi terbaik di hadapan penonton," katanya.

Pemain diharap berikan aksi terbaik

Sementara itu pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Saad mengakui, kem latihan Harimau Malaya kali ini merupakan yang paling sengit terutama di bahagian pertahanan.

Katanya, kesemua pemain di bahagian pertahanan kali ini merupakan pemain pertahanan terbaik negara ketika ini.

"Bagi saya, ia dilihat sebagai satu persaingan yang sihat apabila kesemua pemain dilihat beraksi bersungguh-sungguh dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Dalam bola sepak moden, pemain pertahanan bukan sahaja perlu bertahan tetap perlu menjaga possession.

"Malah, pemain juga perlu beraksi dengan lebih lebik dari semasa ke semasa bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama pasukan," katanya.

Sementara itu, Shahrul mengakui minit permainan sangat penting kepada mana-mana pemain.

Bagaimanapun katanya, dengan latihan berintesiti tinggi yang dilalui setiap hari, turut memadai bagi menjamin kecergasan seseorang pemain.

"Minit permainan merupakan antara perkara penting, tetapi apabila kerap berlatih dalam latihan berintesiti tinggi ia juga dilihat dapat menjamin kecergasan pemain," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!