Soon Huat-Shevon dapat pengajaran berguna

Soon Huat-Shevon tekad beraksi lebih cemerlang di Masters Sepanyol.
Soon Huat-Shevon tekad beraksi lebih cemerlang di Masters Sepanyol.
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui mereka agak terburu-buru pada penghujung set ketiga yang menjadi punca tewas kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di perlawanan akhir Terbuka Switzerland.

Menurut Shevon, mereka tidak sabar untuk menghabiskan perlawanan dengan cepat ketika kedudukan perlawanan terikat 16-16 pada set ketiga itu.

"Kami tidak sabar pada penghujung set ketiga. Kami (di kedudukan) 16-16 dan ini memberikan peluang sama rata kepada kedua-duanya untuk meraih gelaran. Namun kemudian, kami hilang sabar dan terlalu tergesa-gesa untuk mematikan (serangan) lawan.

"Jadi ia memberikan mata mudah buat mereka. Selepas ini, kami perlu menilai semula dan tidak melakukan lagi kesilapan sama pada kejohanan seterusnya," katanya selepas perlawanan.

Soon Huat-Shevon tewas 17-21, 21-19, 17-21 di tangan gandingan muda China itu dan mengulangi pencapaian naib juara kali kedua berturut-turut selepas meraih kedudukan sama pada musim lalu.

Dalam pada itu, Shevon tidak mahu terus memikirkan kekalahan tersebut sebaliknya fokus untuk menghadapi Masters Sepanyol bermula 28 Mac ini.

"(Tahun ini) Kami dapat mengatasi lawan yang kami belum pernah tewaskan pada kejohanan ini dan tahun ini juga, adalah yang kedua berturut-turut kami berada di pentas final Terbuka Switzerland.

"Tentunya ia sesuatu yang bagus buat kami. Kami perlu kembali fokus untuk saingan seterusnya kerana pada minggu ini persaingan agak sengit dan kami perlu pulihkan fizikal, mental dan emosi untuk kembali bangkit," katanya.

Soon Huat-Shevon dijadual bertemu wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen di pusingan pertama Masters Sepanyol.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!