Kedah pelawa pelabur China pelopor pelbagai bidang

Mukhriz ketika berucap di Forum Kerjasama Pembangunan Ekonomi China-Malaysia 2019, di Beijing, China.
Mukhriz ketika berucap di Forum Kerjasama Pembangunan Ekonomi China-Malaysia 2019, di Beijing, China.
A
A
A

BEIJING - Kedah mempelawa pelabur dari China untuk mempelopori pelbagai bidang keberhasilan tinggi, khususnya dalam industri utama di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kedah giat membangunkan sektor logistik dan industri aero-angkasa serta penerbangan, khasnya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), selain zon industri berteknologi tinggi seperti Kedah Science and Technology Park (KSTP), Bandaraya Getah dan Zon Industri Petrokimia.

Menurutnya, penyertaan pelabur asing, termasuk dari China pasti merancakkan lagi pertumbuhan industri berimpak tinggi yang disasarkan kerajaan negeri.

“Delegasi Kedah turut mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil syarikat ternama China, bertujuan memadankan kepakaran masing-masing dengan pelan pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang dikenalpasti di negeri ini,” katanya, ketika berucap di Forum Kerjasama Pembangunan Ekonomi China-Malaysia 2019, hari ini.

Forum yang dianjurkan itu disertai wakil-wakil industri dan perusahaan kecil dan sederhana China untuk mendedahkan mereka kepada peluang dan potensi melabur di Kedah.

Mukhriz (lima dari kanan) bersama delegasi Kedah dan China mengadakan pertemuan membincangkan potensi kerjasama dua negara.
Mukhriz (lima dari kanan) bersama delegasi Kedah dan China mengadakan pertemuan membincangkan potensi kerjasama dua negara.

Antara syarikat yang ditemui termasuk kumpulan petrokimia dan tenaga, GCL Power Group Ltd, Power China International Group Ltd, Poly Changda Overseas Engineering Co. Ltd. dan Huawei Technologies.

Sempena forum yang diadakan itu, Mukhriz turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan kompleks pemprosesan makanan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Capacity Global Biotech (M) Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz dan delegasi mengadakan lawatan kerja enam hari ke Beijing untuk berbincang dengan beberapa konglomerat China mengenai potensi pelaburan setelah kerajaan negeri dan Persekutuan mengenalpasti sektor ekonomi yang bakal dibangunkan dalam masa terdekat.

Ketika di Beijing, Mukhriz akan turut serta bersama delegasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di negara itu bagi menghadiri Forum Kedua One Belt One Road (OBOR).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!