Tidak letak tanda harga, premis makanan diberi amaran

Azman (kiri) turun padang meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.
Azman (kiri) turun padang meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua premis perniagaan makanan di sini diberikan amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan kerana gagal meletakkan tanda harga pada Khamis lalu.

Kesalahan tersebut dikesan menerusi Op Pantau 2023 yang dilakukan terhadap 477 buah premis di seluruh negeri.

Pengarahnya, Azman Ismail bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya hanya memberikan amaran bagi kesalahan pertama dan jika ia berulang tindakan tegas akan dikenakan.

“Daripada pemeriksaan tersebut beberapa pelanggaran dikesan.

“Setakat ini pihak kami telah membuat ‘Penguatkuasaan Berimbang’ peringkat awal bertujuan mendidik dan menasihat peniaga supaya mematuhi perundangan,” katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu beliau turun padang meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Menurut beliau, Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula Khamis lalu dengan menumpukan operasi di bazar Ramadan, Aidilfitri, pasar awam dan banyak lagi.

Ujarnya, KPDN Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!