Enam cadangan pindaan libat jenayah seksual kanak-kanak

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat enam cadangan pindaan yang dilakukan kerajaan terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia termasuk penggantian terminologi pornografi kanak-kanak selaras amalan terbaik global semasa.

Jelas beliau, istilah pornografi kanak-kanak dicadang untuk digantikan dengan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam Akta 792.

Menurutnya, pindaan lain adalah mewujudkan peruntukan bagi kesalahan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak dalam Akta 792.

“Ketiga adalah mewujudkan peruntukan khas berkenaan pembayaran pampasan bagi mangsa kanak-kanak di dalam Akta 792 dan keempat adalah pemakaian Akta 676 diperluaskan bagi kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

“Seterusnya, cadangan adalah mewujudkan peruntukan mengenai pemberian kuasa kepada mahkamah dalam melarang soalan-soalan tidak wajar kepada kanak-kanak di bawah Akta 676,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, cadangan pindaan terakhir adalah mewujudkan peruntukan dalam Akta 676 dengan memberi pilihan kepada mahkamah untuk menerima keterangan penuh saksi kanak-kanak dalam rakaman video termasuk pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula.

Azalina berkata, rakaman tersebut untuk direkodkan pada pendengaran khas supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan kecuali dalam keadaan tertentu.

Jelasnya, pindaan dilakukan memandangkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang telah berkuat kuasa sejak 10 Julai 2017 didapati mempunyai beberapa jurang dan cabaran yang perlu dikaji serta disemak semula bagi memastikan pelaksanaan lebih lancar supaya tujuan akta dapat dicapai.

Tambah beliau, bagi Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang memperuntukkan perkara berhubung keterangan saksi kanak-kanak telah berkuat kuasa sejak tahun 2007 wajar dipinda sejajar dengan perkembangan semasa.

“Kerajaan Perpaduan memandang serius jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Selaras dengan kedudukan ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak pemegang taruh termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan banyak lagi.

“Ia bagi membincangkan hala tuju dan mendapatkan input serta maklum balas penyediaan dasar dan membincangkan parameter pindaan yang berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Azalina, bacaan kali yang pertama bagi rang undang-undang (RUU) berkenaan telah dibuat pada Isnin dan bacaan kali kedua dijangka turut dilakukan dalam sesi kali ini.

Tambahnya, cadangan pindaan fasa kedua berkenaan kewibawaan saksi kanak-kanak dan pemansuhan keperluan undang-undang mengenai keterangan sokongan bagi saksi kanak-kanak pula dijangka dilaksanakan pada sidang Parlimen akan datang.

“Ia selepas sesi libat urus diadakan khususnya dengan Majlis Peguam Malaysia,” tambahnya.

Beliau berharap cadangan pindaan kepada Akta 792 dan Akta 676 itu mendapat sokongan padu semua ahli Parlimen, senator dan orang awam.

Dalam masa sama, menurutnya, kerjasama daripada pihak berkuasa juga perlu ada supaya pindaan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan sempurna dan efektif agar jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia dibanteras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!