Maut kena serangan jantung ketika memandu

Kemalangan di Kilometer 3.9 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Shah Alam, pada Isnin membabitkan dua buah kenderaan di mana pemandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan di Kilometer 3.9 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Shah Alam, pada Isnin membabitkan dua buah kenderaan di mana pemandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita warga emas maut disyaki alami serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya terlibat kemalangan dalam kejadian di Kilometer 3.9 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, laporan kejadian itu diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 9.59 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Perodua Alza.

"Saksi di tempat kejadian memaklumkan kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa berusia 70 tahun di lorong kanan telah hilang kawalan dan berpusing lalu melanggar pembahagi jalan.

"Kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berumur 39 tahun dari arah belakang tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta mangsa," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal, berkemungkinan mangsa mengalami serangan jantung sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!