Zakir Naik akan kembali ke Malaysia
SHAH ALAM - Penceramah bebas, Dr Zakir Naik akan kembali ke Malaysia selepas menghadiri beberapa program di Oman.
Memetik laporan sebuah portal berita, peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan hal tersebut dan memaklumkan bahawa Dr Zakir masih perlu menghadiri beberapa program di negara berkenaan.
“Dia (Zakir) akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa Dr Zakir berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik ketika berada di Oman.
“Zakir juga memaklumkan laporan yang mendakwa tentang penahanan dirinya itu sekadar berita rekaan,” ujarnya.
Tambah beliau, perjalanan pulang Dr Zakir ke Malaysia tidak dapat diperincikan demi keselamatan penceramah itu.
Sebelum ini, media antarabangsa, News18 melaporkan Dr Zakir bakal ditahan dan diusir dari Oman untuk dihantar pulang ke India.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!