PLKS tiga subsektor dilanjutkan sehingga 15 Jun ini

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR -Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing untuk tiga subsektor iaitu tekstil, tukang gunting dan tukang emas, dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 15 Jun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira kegusaran majikan yang terkesan berikutan keputusan penamatan PLKS inI.

"Sehubungan itu PLKS di bawah tiga sub sektor itu masih dibenarkan membuat pelanjutan melewati tarikh 15 Mac 2023.

"Bagaimanapun selepas tarikh berkenaan tiada lagi pelanjutan PLKS sehinggalah hasil kajian dan sesi libat urus dengan peserta industri tiga sub sektor itu dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Sebelum ini, katanya penggajian pekerja asing bagi sub perkhidmatan tekstil, tukang gunting dan tukang emas dibekukan sejak 2009, dan pada 2019 ia dikategorikan sebagai sektor yang tidak dibenarkan untuk penggajian pekerja asing, manakala bagi pemegang PLKS yang sedia ada pula hanya dibenarkan bekerja sehingga 15 Mac 2023.

Sementara itu, mengulas mengenai kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak Januari lepas, Shamsul Anuar berkata, pihak Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan notis kehilangan kapal berkenaan selepas menerima permintaan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"APMM masih menjalankan operasi mencarinya secara berterusan menggunakan asset udara dan laut yang dimiliki agensi berkenaan,” katanya.

Pada 9 Januari lepas, kapal kargo yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal berkenaan pada hari sama.

Dalam perkembangan lain Shamsul Anuar menjelaskan kanak-kanak warga asing yang dijadikan anak angkat oleh warga tempatan tidak akan memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

Beliau berkata, ini kerana pemberian taraf kewarganegaraan kepada kanak-kanak warga asing yang diambil sebagai anak angkat oleh warga tempatan tertakluk dan dikawal selia oleh Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257) dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253),

"Bagaimanapun ibu bapa angkat boleh memohon kewarganegaraan untuk anak angkat mereka sebelum berumur 21 tahun.

"Dalam hal ini pertimbangan adalah tertakhluk kepada peruntukan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan serta perundangan yang berkuat kuasa termasuklah perkara yang berkaitan dengan pengangkatan secara sah,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!