KPDN Labuan rampas 44,000 liter diesel bersubsidi

KPDN Labuan merampas lebih kurang 44,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Mohd Salleh, di sini pada Isnin. - Foto Facebook KPDN Labuan
KPDN Labuan merampas lebih kurang 44,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Mohd Salleh, di sini pada Isnin. - Foto Facebook KPDN Labuan
A
A
A

LABUAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menahan seorang lelaki tempatan dan merampas lebih kurang 44,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Mohd Salleh, di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, suspek berusia 31 tahun dipercayai pemilik stor itu ditahan dalam serbuan pada jam 12 tengah hari dan hasil pemeriksaan telah menemukan minyak diesel bersubsidi disimpan dalam tangki penyimpanan yang diubah suai dalam dua kenderaan.

Turut dirampas dua kontena berisi minyak diesel serta peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM94,600.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, pemilik stor terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Junaidah berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

"Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalihkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan,” katanya dalam kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!