Kaji segera jumlah gaji graduan TVET
SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera mengkaji kadar gaji rendah yang diterima graduan kemahiran atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di sektor awam seperti yang didakwa Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Pensyarah Utama Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra, Kedah, Norasmah Saad berkata, pemberian gaji rendah itu akan mendatangkan kesan negatif antaranya tenaga kerja dalam sektor tersebut akan berkurangan pada masa hadapan.
“Bagi tenaga kerja di syarikat swasta, perkara ini (gaji) tidak menjadi isu. Diploma TVET memang diiktiraf. Kalau di sektor awam pula, ada juga perbezaan. Yang menyebabkan ia sedikit rendah adalah kerana kadar elaun yang diberikan.
“Namun, yang menjadi isu sebenarnya adalah syarikat yang mengambil kesempatan dengan membayar gaji yang rendah sebab mahu menjimatkan perbelanjaan, masih ada syarikat yang melakukan perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
MBOT sebelum ini mendedahkan kepada Sinar Harian bahawa terdapat graduan yang mempunyai diploma dan ijazah dari institusi TVET tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dari segi jawatan dan gaji yang setara dalam perkhidmatan awam.
Presidennya, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pemegang diploma atau ijazah kejuruteraan dan teknologi dari institusi tersebut menerima gaji kurang RM400 hingga RM500 berbanding graduan daripada universiti lain apabila mereka menyertai sektor awam.
Menurut Norasmah yang juga Tokoh Pendidikan TVET di Polimas, penawaran gaji yang rendah menyebabkan ramai anak muda tidak mahu melanjutkan pelajaran kerana beranggapan tidak memberikan sebarang kelebihan.
“Mereka nanti berpendapat bahawa tiada guna belajar dalam bidang ini disebabkan gaji yang ditawarkan rendah dan tidak setimpal dengan apa yang dipelajari.
“Realiti sekarang adalah, ada anak muda yang tidak sambung belajar disebabkan boleh mendapat gaji yang lebih tinggi daripada menyambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda. Keadaan ini merisaukan,” ujarnya.
Norasmah berkata, tidak sepatutnya kelulusan seseorang graduan itu menjadi ukuran kepada mana-mana majikan tidak kira kerajaan atau swasta untuk membayar gaji pekerja.
“Isu ini perlu dilihat semula oleh kerajaan. Graduan TVET adalah diiktiraf.
“Selain itu, kaji juga isu gaji bagi memastikan graduan tidak melihat peluang pekerjaan di negara lain yang akhirnya menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!