Kemuliaan Ramadan diuji pelampau bakar al-Quran

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SELEPAS tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan di Stockhlom Januari lalu, dunia Islam dikejutkan sekali lagi dengan tindakan tidak bertamadun puak pelampau.

Kali ini mereka yang bertanggungjawab adalah kumpulan anti-Islam sayap kanan, Patrioterne Gar Live yang bertindak menyiarkan rakaman di Facebook memaparkan penyokong membawa sepanduk dengan mesej Islamophobia dengan tindakan membakar senaskah al-Quran dan bendera Turkiye di hadapan Kedutaan Turkiye di Copenhagen.

Sudah pasti tindakan itu mendapat kecaman negara-negara Arab berikutan tindakan biadab pelampau Islamophobia di Denmark ekoran insiden membakar al-Quran dan bendera Turkiye yang berlaku pada Jumaat lalu.

Negara-negara Arab lain turut bersuara menentang tindakan pelampau, selain menyifatkan perbuatan berkenaan sengaja menimbulkan kebencian terhadap umat Islam, apatah lagi ketika bulan Ramadan.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Sinan Majali berkata, perbuatan itu seolah sengaja menimbulkan kebencian dan perkauman.

“Membakar al-Quran adalah tindakan kebencian yang serius dan manifestasi Islamophobia yang menghasut keganasan dan penghinaan terhadap agama, selain tidak boleh dianggap satu bentuk kebebasan bersuara,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Kuwait turut memberi amaran bahawa tindakan membakar al-Quran berisiko mencetuskan tindak balas kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Kementerian menggesa pelaku untuk bertanggungjawab dan memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan bagi tujuan menyinggung Islam atau agama lain.

Pada masa sama, Qatar juga senada dengan jiran-jirannya yang lain apabila turut mengutuk tindakan keji berkenaan dan memberi amaran bahawa insiden itu akan mendorong peningkatan berbahaya yang menyasarkan umat Islam.

Kementerian Luar Qatar mengulangi semula penolakan negara itu terhadap semua bentuk ucapan kebencian berdasarkan kepercayaan, bangsa atau agama.

Sementara itu, Kementerian Luar Turkiye mengecam insiden itu dan menyifatkannya sebagai ‘jenayah kebencian’, termasuk menolak alasan perbuatan keji berkenaan di bawah hak kebebasan bersuara.

Justeru, kementerian itu menggesa pihak berkuasa Denmark mengambil tindakan terhadap pelaku bagi memastikan kejadian sama yang menggugat keharmonian sosial tidak berulang lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!