Tiga kanak-kanak antara enam maut ditembak di sekolah
NASVILLE - Seorang wanita berusia 28 tahun menembak mati tiga kanak-kanak dan tiga kakitangan di sebuah sekolah rendah swasta Kristian di Nashville, Tennessee pada Isnin.
Suspek dikenal pasti sebagai Audrey Hale dan merupakan bekas murid di sekolah tersebut.
Insiden di The Covenant School itu adalah siri keganasan senjata api terbaharu yang sudah menjadi pandemik di Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap polis Nashville, Don Aaron memberitahu pemberita penyerang yang membawa selaras senapang dan sepucuk pistol memasuki sekolah itu sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
"Polis berada di tempat kejadian kira-kira 15 minit selepas menerima panggilan kecemasan pertama sekitar 10 pagi (waktu tempatan) dan berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati," kata Aaron.
Tambah Aaron, tiada petunjuk awal mengenai motif serangan di Nashville.
Tembakan di sekolah adalah perkara biasa yang membimbangkan di AS di mana jumlah senjata api meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Presiden Joe Biden menyifatkan tembakan terbaharu itu sebagai “sakit” dan berkata keganasan senjata api merobek “jiwa” negara ketika beliau menggesa Kongres meluluskan larangan ke atas senjata serangan yang biasa digunakan dalam tembakan besar-besaran. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!