Empat individu diberkas edar minuman keras tanpa cukai
KUALA LUMPUR - Seramai empat individu termasuk dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki menyimpan dan mengedar pelbagai jenis minuman keras tanpa cukai di sebuah premis perniagaan di Jalan Ipoh, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan pada jam 1.55 petang itu telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am Semenyih dengan dibantu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
"Kesemua lelaki berusia 25 hingga 41 tahun itu telah ditangkap kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyimpan dan mengedar pelbagai jenis arak tanpa cukai," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Eng Lai berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati modus operandi kegiatan itu berselindung di sebalik premis kedai.
"Mereka dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu, kita berjaya merampas sebanyak 14,832 botol dan 7,464 tin minuman keras dianggarkan bernilai RM861,924.48," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama 10 hari bermula Ahad sehingga 4 April depan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki, atau mengedar minuman keras seludup dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama serta menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa untuk mengekang aktiviti penyeludupan minuman keras.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Biljk Gerakan IPD Sentul di 03-40482206," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!