Selepas ibu, DJ Lin kini 'hilang' abang
SHAH ALAM - Selepas pemergian ibu tahun lalu, penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin kini 'kehilangan' abang kandung, Mohd Yusof Abdul Majid, 59, yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan pada jam 5.10 pagi, Isnin.
Berita duka itu dikongsi DJ Lin yang sedang berada di Madinah kerana menunaikan ibadat umrah menerusi entri di laman Instagramnya.
"Al-Fatihah untuk arwah abang DJ Lin tersayang, Mohd Yusof Abdul Majid yang baru saja menghembuskan nafas terakhir jam 5.10 pagi tadi (waktu Malaysia). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
"Selamat jalan Usop (nama panggilan arwah). Insya-ALLAH di satu ketika kita pasti kan bertemu kembali di alam sana. Maaf sebab tak dapat berada di sisi jenazahmu, hanya doa yang mampu aku panjatkan dari bumi Madinah untukmu. Daripada 10 beradik, kini kami tinggal lapan beradik je," tulisnya.
DJ Lin, 47, turut menitipkan doa agar balu arwah dan anak-anak tabah menerima ketentuan ALLAH yang lebih menyayangi arwah.
Tahun lepas, ibu DJ Lin dilapor meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di kediaman mereka di Johor Bahru ketika berusia 80 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!