Kadir Jasin harap isu dua hala dengan Singapura selesai di bawah Tun M
SINGAPURA - Seorang pembantu rapat Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata di sini pada Rabu, beliau ingin melihat semua isu dua hala antara Malaysia dan Singapura dapat diselesaikan semasa di bawah pemerintahan Dr Mahathir sebagai perdana menteri buat kali kedua.
Datuk A. Kadir Jasin, Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri Malaysia berkata, “marilah kita selesaikan ... jika boleh, marilah kita membuang jauh-jauh apa jua yang membangkitkan rasa tidak senang hati dalam hubungan antara kedua-dua negara dan meneruskan kehidupan seperti biasa."
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pada seminar tentang Cabaran-cabaran Malaysia Baharu anjuran ISEAS-Institut Yusof Ishak. Satu daripada perkara yang dibangkitkan ialah apa yang terjadi selepas Dr Mahathir mengambil alih teraju pemerintahan negara (sebagai perdana menteri) buat kali kedua, beberapa isu dua hala telah timbul, antaranya ialah mengenai ruang udara, sempadan maritim selain perjanjian air 1962.
Kadir berkata tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai perkembangan itu.
“Mungkin ini satu reaksi yang tidak perlu, tidak dikehendaki, tidak diarahkan terhadap perubahan kerajaan di Kuala Lumpur, untuk melihatnya dari sudut pandangn yang lebih luas dan mudah,” kata beliau.
Menurut beliau, kerajaan di peringkat tertinggi, khususnya Dr Mahathir menyedari perkara itu.
“Beliau seorang pentadbir ekonomi yang cerdik. Beliau tahu. Beliau mungkin membuat bising tentang ruang udara, perairan persisir dan bekalan air mentah yang murah dari Malaysia ke Singapura tetapi itu semuanya politik.
“Persekitaran politik di Malaysia sangat ‘bertenaga’. Jika kamu tidak bercakap, orang ingat kamu sudah mati atau kamu sudah bosan. Ahli politik Malaysia mesti bercakap setiap hari,” kata beliau.
Kadir juga berkata perselisihan dengan Singapura mungkin satu sejarah turun-temurun sejak zaman silam.
“Saya tidak risau tentang perkara itu. Tetapi saya lebih berminat tentang soal sama ada Malaysia dan Singapura boleh bersikap sedikit budiman dalam hubungan kita. Jadilah lebih terbuka... kurang bersikap melampau-lampau... kurang sikap kenegerian... kurang skap berpuak-puak,” kata beliau.
Kadir turut menyatakan bahawa Singapura adalah rakan dangangan kedua terbesar Malaysia dan “itu satu hakikat.”
Menyentuh tentang perjanjian air 1962, Kadir berkata: “Saya fikir kita harus melupakan pertengkaran tentang perjanjian air yang lama itu. Fikirkanlah perjanjian yang baharu.”
Kadir berkata, “adalah berbahaya bagi Malaysia dan Singapura untuk memandang hubungan ini dari sudut apa yang tertulis semata-mata.”
“Saya fikir adalah lebih baik jika kita melihat apa yang akan berlaku pada masa depan.”
Kepada soalan lain, juga mengenai hubungan Malaysia-Singapura, Kadir berkata kini kedua-dua belah pihak boleh berunding sebagai dua pihak yang setaraf.
Dengan mencontohkan pertemuan antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam program pemukiman pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya baru-baru ini, Kadir berkata: “Bagi saya, tiada apa hasil yang negatif daripada pertemuan itu.” - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!