436 projek perumahan 'sakit' dikenal pasti

Akmal Nasrullah (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Selasa.
Akmal Nasrullah (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti sebanyak 436 projek daripada 3,117 projek perumahan swasta berlesen dikategorikan sebagai sakit setakat 28 Februari lalu.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia menunjukkan sedikit pengurangan projek sakit berbanding yang direkodkan pada Januari tahun ini.

“Daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 20 projek perumahan swasta sakit (1,784 unit rumah) berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Selain itu, enam projek sakit (2,241 unit) telah dipantau dengan rapi sehingga dikategorikan sebagai projek lancar.

"Sebanyak 145 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat daripada kemajuan semasa.

“Ini merupakan pencapaian positif sejak penubuhan pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai,” katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Menurut beliau, unjuran projek perumahan bermasalah dijangka terus meningkat dengan statistik terkini pertambahan sebanyak 181 projek lewat.

"Ia menjadikan projek perumahan swasta berstatus lewat berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 326 projek.

“Unjuran bagi projek sakit adalah sebanyak 282 projek menjadikan projek perumahan swasta berstatus sakit berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 718 projek,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, lima projek terbengkalai yang berjaya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai setakat ini melibatkan Dolomite Park Avenue di Gombak, Selangor; Taman Petaling Utama, Selangor dan Casa Melati, Gombak, Selangor.

Selain itu, tambahnya, Pantai Avenue Bukit Kerinchi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lot 5918-5927, Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu.

“Ini menjadikan status terkini projek perumahan swasta terbengkalai adalah sebanyak 110 projek yang melibatkan 23,563 unit rumah dan 13,931 pembeli.

“Antara kaedah pemulihan yang dilaksanakan oleh KPKT adalah memastikan penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, penyelesaian pembeli dan penukaran pemajuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan yang diluluskan kepada KPKT pada tahun ini, Akmal Nasrullah memberitahu, kementerian telah menerima peruntukan pembangunan tambahan ‘one-off’ berjumlah RM20 juta yang disasarkan untuk memulihkan projek terbengkalai bagi rumah siap dan diduduki tetapi tanpa CCC.

Katanya, dengan mengambil kira faktor keselamatan dan daya huni rakyat yang telah mendiami rumah-rumah tersebut, pemilihan projek berkenaan amat kritikal untuk dipulihkan terlebih dahulu.

“Peruntukan ini merupakan tambahan ke atas peruntukan pembangunan sedia ada yang berjumlah RM4.9 juta.

“Ini menjadikan, peruntukan keseluruhan pada tahun ini adalah sebanyak RM24.9 juta iaitu meningkat sebanyak 407.22 peratus berbanding tahun lalu,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!