Padah turun landasan ambil 'earphone'
PETALING JAYA - Tindakan melulu seorang lelaki yang mahu mengambil fon telinga atau earphone yang terjatuh di landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Paramount di sini mengundang padah selepas ditahan pihak berkuasa, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 9.28 pagi berkaitan tangkapan lelaki terbabit oleh Polis Bantuan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
“Kejadian berlaku pada jam 8.09 pagi selepas penggera landasan berbunyi dan didapati terdapat seorang lelaki tempatan berada di landasan platform 1 (northbound).
“Lelaki itu dikesan mengambil earphone di landasan terbabit hingga menyebabkan tren tergendala selama tiga minit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudian ditahan kerana menceroboh landasan kereta api.
Katanya, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991.
Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!