Pengguna dakwa ayam di pasar raya tidak disembelih
IPOH - Seorang pengguna Facebook mendakwa ayam segar yang dibeli di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar tidak disembelih mengikut hukum syarak.
Melalui perkongsian di dalam kumpulan sembang di laman Facebook, pengguna dipercayai wanita itu memaklumkan telah meminta kepala ayam daripada pekerja pasar raya tersebut dan setelah meneliti mendapati haiwan itu tidak disembelih.
"Selalunya saya minta kepala ayam, pekerja memang xkasi (tak beri). Tak tahu kenapa.. Kali ini saya minta juga nak kepala ayam, nasib baik pekerja itu bagi. Bila tengok, terkejut saya! Baru tahu kepala ayam itu ditebuk.
"Patutlah susah sangat nak kasi kepala ayam itu. Di bulan puasa pun buat dosa-dosa kering. Untuk pengetahuan semua, jika tebuk kepala atau itu bermakna tak halal," katanya menerusi hantaran tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook itu.
Pengguna Facebook itu juga memaklumkan sudah cuba melaporkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi tidak berjaya.
Sementara itu, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, berdasarkan semakan dibuat menerusi sistem e-aduan pihaknya mengesahkan tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai isu tersebut.
"Siasatan lanjut akan dibuat oleh KPDN cawangan yang berhampiran berdasarkan maklumat dikongsikan menerusi hantaran Facebook tersebut.
"Kita akan buat pemeriksaan dan akan panjangkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) jika didapati ada aktiviti yang tidak menepati syarak.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan melalui pelbagai saluran yang disediakan oleh KPDN kepada pengguna.
Sebarang aduan atau pertanyaan mengenai isu kepenggunaan boleh dibuat menerusi https://e-aduan.kpdn.gov.my atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 dan 019-8488000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!