Tragedi sahur, suami isteri melecur
TAWAU - Sepasang suami isteri melecur dalam kebakaran melibatkan dapur gas di kediaman mereka di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Semarak di sini pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa wanita berusia 40 tahun melecur hampir di seluruh badan manakala suaminya turut cedera namun tidak terlalu teruk dan kedua-duanya dikejar ke Hospital Tawau untuk rawatan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.36 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh lapan kilometer dari BBP Tawau.
"Sebaik tiba, kebakaran melibatkan dapur yang berpunca daripada kebocoran gas ketika sedang menyiapkan makanan untuk bersahur.
"Akibat kejadian itu menyebabkan berlakunya letupan dan kecederaan kepada pasangan berkenaan. Mangsa wanita melecur sebanyak 80 peratus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jemishin berkata, operasi memadamkan kebakaran dilakukan oleh orang awam dan pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.
"Mangsa juga telah dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Operasi terkawal pada jam 4.10 pagi dan ditamatkan kira-kira lima minit kemudian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!