Bangkai kucing: Jurujual dipenjara 2 tahun, denda RM50,000

Laporan Sinar Harian pada 11 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 11 Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang jurujual mengabaikan lima kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran, tahun lalu membawa padah apabila dia dihukum penjara dua tahun dan didenda RM50,000 oleh di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Lim Chia Lin, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara setahun.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi sehingga menyebabkan haiwan peliharaan yang diletakkan dalam kurungan, mati dan bangkainya ditemukan kemudian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, antara 14 Jun dan 3 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Pengadu selanjutnya menasihati penyewa tersebut supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 13 Mac lalu, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah tersebut untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400 namun mendapati sangkar tersebut masih tidak dibuang.

Pengadu mendapati bau busuk berlaku di bahagian dapur akibat daging kisar dalam baldi dan peti sejuk manakala penyewanya sedang tidur dalam bilik.

Semasa prosiding, Chia Lin yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan denda yang minimum kerana dia berpendapatan rendah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurhani Mohmed Ayub berkata, tertuduh bertindak pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun tahun lalu, tanpa menyediakan makanan dan minuman hingga kucing-kucing itu mati kebuluran.

"Dia patut sediakan keperluan mencukupi serta tempat yang selesa tapi bertindak meninggalkan haiwan peliharaan tersebut `kering kontang’ tanpa belas kasihan," katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan, pihak polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, pada 11 Mac lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 Mac lepas dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!